EVENT | REVIEW | IKLAN

Tel: +6018-2043980
Email: abnormallight@gmail.com
Instagram: @ayunirafilah

Review BLU Grand M [Grand Series] 2017


Kepada mereka yang cuba hubungi Ayuni baru-baru ini tetapi tidak mendapat balasan segera, Ayuni mohon maaf banyak-banyak kerana telefon yang Ayuni gunakan selama ini telah mengalami kerosakan teruk. Sedih kan?

Alhamdulillah, akhirnya Ayuni dah jumpa telefon pintar baru iaitu BLU Grand M sebagai ganti dan apa yang menariknya telefon ini baru sahaja dilancarkan di pasaran pada Januari 2017. Kira memang baru sangat keluar kan... tetapi apa yang lebih menarik ialah harganya yang amat berbaloi dengan kualiti. Telefon pintar BLU ni bukan sebarang telefon tau... ia diimport dari Miami, Florida di Amerika Syarikat. BLU merupakan singkatan kepada tagline Bold Like Us.

Inilah telefon baru Ayuni - BLU Grand M. Percaya tak harganya bawah RM400? Dapat free gift earphone JBL yang bernilai RM99 sekali!


Spesifikasi: 
  • Berukuran 144.9 x 72.1 x 9.35 mm
  • Berat 171 g
  • Casing logam (aluminium)
  • Bateri Li-Ion 2200 mAh
  • Dwi SIM, Nano SIM
  • 4 warna casing - hitam, kelabu, putih dan pink

Sistem:
  • Dikuasakan dengan chipset Mediatek MT6580 
  • Stor simpanan data berjumlah 8GB
  • Beroperasi di atas Android OS v6.0 (Marshmallow)
  • Paparan IPS 5" dengan resolusi 480 x 854 px
  • CPU - Quad-core 1.3 GHz Cortex-A7
  • GPU - Mali-400 MP2

Kamera:
  • Depan - 2 MP
  • Belakang - 5 MP
  • Resolusi 2592 x 1944 px
  • Fungsi 'autofocus'

Komen: BLU Grand M merupakan telefon yang berbaloi dengan harganya. Ia mempunyai ketahanan lasak dan tidak mudah pecah sekiranya terjatuh disebabkan casing badannya yang diperbuat daripada logam. Walaupun tersedia dengan OS Android Marshmallow, ia boleh dinaiktaraf  kepada OS versi terbaru. Namun Ayuni agak hampa dengan dua perkara berkaitan telefon pintar BLU Grand M ini:

  • Kadar 512MB RAM yang dikira jauh lebih rendah berbanding dengan kadar RAM yang ada pada telefon lama Ayuni. Disebabkan RAM yang sangat rendah, ia mengambil masa lama untuk membuka aplikasi dan mendapat carian. Permainan yang memerlukan resolusi grafik tinggi sukar untuk dimainkan di atas telefon ini. Amat berbeza dengan kualiti grafik dalam paparan skrin BLU Pure XR yang nampak lebih halus dan cantik kerana memiliki 4GB RAM. 
  • Resolusi kamera yang rendah (2 MP depan, 5 MP belakang) tidak sesuai untuk mereka yang suka berselfie melainkan mereka gunakan aplikasi seperti Beauty Camera. Sekali lagi, ia amat berbeza dengan BLU Pure XR yang memiliki kamera 16 MP. 

Namun ini tidak menjadi masalah kepada mereka yang mahukan telefon pintar untuk kemudahan komunikasi seharian. Cuma tak dapat nak masukkan banyak aplikasi untuk mengedit gambar, video dan teks bagi tujuan blog. Mungkin sebagai blogger, Ayuni sepatutnya dapatkan BLU Pure XR.

Rating: ★★★✩✩

Jom tengok video unboxing BLU Grand M oleh Ayuni di sini: BLU Grand M Unboxing

Ayuni mula dapat tahu tentang telefon pintar BLU semasa menghadiri majlis pelancaran BLU yang dianjurkan oleh Lazada Malaysia di Talent Lounge, Damansara Perdana pada minggu lalu. Ini merupakan kali pertama BLU menembusi pasaran dalam Asia Tenggara melalui platform Lazada. Terdapat 2 model terbaru telefon pintar BLU yang dilancarkan dalam majlis tersebut iaitu BLU Diamond [Diamond Series] dan BLU Pure XR [Pure Series].

Bersantai di majlis pelancaran BLU.

Menjadi duta BLU sehari bersama blogger comel Syafiera Yamin.

Sempena pelancaran kedai rasmi BLU, Lazada kini sedang mengadakan promosi pembelian telefon pintar BLU pada harga yang sangat murah dan anda pasti tak akan percaya berapa harganya! Dari 25 April sehingga 25 Mei 2017, Lazada juga akan menganjurkan promosi pembelian telefon BLU bersama produk audio JBL dalam pakej bundle. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang telefon pintar BLU dan cara pembelian, sila layari laman rasmi BLU di sini: BLU X LAZADA MY 

Atau klik pada gambar di bawah:

BACA LAGI...

10 Model Fesyen Paling Unik Di Dunia


Bila sebut tentang kerjaya model, sudah semestinya tergambar dalam kepala orang ramai golongan wanita yang memiliki rupa paras menarik, berkulit putih, berkaki panjang, kurus dan tinggi lampai sedang berjalan ala catwalk sambil memperagakan koleksi pakaian rekaan ternama di atas pentas. Namun tahukah anda bahawa ramai model terkenal tidak mempunyai ciri-ciri tersebut, malah ada yang menjadi perhatian dunia fesyen antarabangsa kerana kelainan fizikal mereka yang dianggap unik? 

Kehadiran model-model ini membuktikan kepada dunia bahawa rupa yang cantik tidak semestinya menjadi tarikan utama dan akan menjadi ikutan masyarakat dalam industri fesyen, tetapi perbezaan diri individu yang membawa kesegaran dan kelainan dalam industri itu yang sentiasa dahagakan perubahan trend. 


1. Andreja Pejic

Berasal dari Bosnia, Andreja dilahirkan sebagai lelaki dan nama asalnya ialah Andrej. Semasa dia masih kanak-kanak, keluarga Andreja telah melarikan diri ke Australia akibat pergolakan di Bosnia. Andreja diambil sebagai model di bawah label Jean Paul Gaultier pada usia 17 tahun, dan oleh kerana rupanya yang feminin Andreja bukan sahaja memperagakan koleksi pakaian lelaki, malah pakaian wanita juga. Seusai proses penukaran jantina dari lelaki ke wanita, Andreja mencatit sejarah sebagai model transgender pertama yang dilantik menjadi duta produk kosmetik terkenal.


2. Casey Legler

Casey Legler telah memecah tradisi Ford Models kerana menjadi model wanita pertama yang memperagakan koleksi pakaian lelaki di bawah label fesyen tersebut. Model yang menyerupai lelaki tampan ini berharap dapat membantu golongan muda yang mengalami masalah kecelaruan identiti agar mengenali diri mereka melalui dunia permodelan yang diceburinya. Erika Linder dan Elliot Sailors merupakan generasi model baru yang mengikut jejak langkah Casey sebagai model wanita menyerupai lelaki.


3. Erika Ervin

Terkenal dengan wataknya sebagai Amazon Eve dalam siri ‘American Horror Story: Freak Show’, Erika mempunyai ketinggian 6 kaki 8 inci yang melayakkannya masuk ke dalam catatan Guiness World Record pada tahun 2011 sebagai model paling tinggi di dunia.


4. Madeline Stuart

Kemunculan Madeline Stuart di atas pentas sempena New York Fashion Week pada September 2015 mengejutkan orang ramai kerana dia merupakan penghidap Down Syndrome pertama yang menjadi model. Madeline ingin mengubah perspektif masyarakat terhadap orang-orang kelainan upaya melalui kerjayanya dalam bidang permodelan.


5. Melanie Gaydos

Disahkan menghidap penyakit ectodermal dysplasia yang menyebabkan tumbesaran abnormal pada gigi, kuku dan tulangnya oleh doktor, Melanie Gaydos juga mengalami masalah daya penglihatan serta penyakit alopecia. Ini tidak menghalang Melanie untuk menceburi bidang permodelan dan bakatnya direalisasikan setelah Melanie menyahut pencarian ‘model unik’ oleh jurufoto fesyen dalam iklan Craiglist. 


6. Molly Blair

Sesiapa yang bertemu dengan Molly Blair pasti akan menyangka bahawa dia menghidap penyakit anoreksia disebabkan bentuk badannya yang luarbiasa kurus dan tinggi. Molly juga sering dibuli oleh pelajar-pelajar lain di sekolah yang memberinya gelaran ‘makhluk asing’ dan ‘mentadak’. Bakat permodelan remaja tersebut mula dicungkil sejak dia ditemui oleh seorang agen fesyen di sebuah pasar karat di New York dan dia kemudiannya menyain kontrak dengan ELITE London untuk memperagakan koleksi pakaian mereka.


7. Rick Genest

Rick Genest lebih dikenali dengan gelaran ‘Zombie Boy’ disebabkan tubuhnya yang penuh dengan tatu illustrasi rangka. Dia merupakan model lelaki yang unik kerana sentiasa memperagakan pakaian dengan rupa seperti tengkorak hidup. Rick pernah tampil dalam klip video Lady Gaga berjudul ‘Born This Way’ dan ramai penonton yang tertanya-tanya sama ada tatu pada keseluruhan tubuhnya adalah asli atau kulit prostetik yang disarungkan ke badannya. Dia merupakan jurucakap lelaki pertama bagi syarikat L’Oreal.


8. Shaun Ross

Sebagai seorang remaja berketurunan kulit hitam yang lahir dengan kulit albino, Shaun Ross berjaya memikat hati jurufoto fesyen yang mengenalinya melalui YouTube, di mana Shaun telah memuatnaik video tariannya. Remaja berusia 16 tahun tersebut dilantik sebagai model sempena New York Fashion Week dan lama-kelamaan Shaun muncul dalam pelbagai majalah dan pertunjukan fesyen.


9. Tess Holliday

Dengan saiz badan besar luarbiasa (saiz 22), Tess Holliday menggegarkan dunia fesyen melalui penampilannya sebagai model berbadan paling besar. Tess menganjurkan kempen ‘Eff Your Beauty Standards’ di Instagram sambil membawa mesej kepada orang ramai untuk menolak piawaian kecantikan berdasarkan saiz badan yang ditentukan oleh masyarakat.


10. Winnie Harlow 

Winnie Harlow menghidap penyakit vitiligo  yang menyebabkan beberapa kawasan kulit pada badannya kehilangan pigmen. Disebabkan masalah kulitnya, Winnie telah dibuli di sekolah sehingga dia membuat keputusan untuk berhenti belajar. Bakatnya sebagai model terserlah selepas Tyra Banks menemui akaun Instagram milik Winnie dan menggalakkan Winnie menyertai rancangan America’s Top Model yang dikendalikan olehnya. Winnie kemudian dilantik menjadi duta jenama fesyen Desigual, membintangi beberapa video lagu, serta menjayakan kempen Diesel.
BACA LAGI...

5 Fakta Pelik Yang Anda Pasti Akan Sangka Palsu...


Berikut ialah 5 fakta pelik yang anda pasti akan sangka palsu... tetapi ini semua memang benar! Fakta kelima tu rasanya yang paling susah nak dipercayai.


1. Orang Yunani kuno memutihkan gigi menggunakan air kencing.  

2. Tanzania pernah mengalami sindrom ketawa tanpa henti selama setahun.

3. Sesiapa yang menonton K-Pop di Korea Utara akan dihukum bunuh.

4. Asalnya "Like Button" dalam Facebook hendak diberi nama "Awesome Button".

5. Planet Musytari dan Zuhal berhujankan berlian.
BACA LAGI...

Siapa Sangka Dalam Kuala Lumpur Ada 'Istana Sepanyol' Yang Tersergam Indah?


Pada Rabu lalu Ayuni dengan rakan-rakan sepejabat Ayuni telah singgah di sebuah bangunan yang mirip istana atau rumah agam Sepanyol. Kawasan tersebut amat besar dan luas namun tidak ramai yang tahu kewujudan bangunan itu yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bergambar bersama rakan-rakan sepejabat di depan "istana Sepanyol" yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bangunan yang dimaksudkan sebenarnya merupakan salah satu kampus pendidikan di bawah pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa yang dikenali sebagai IIUM CRESCENT (Centre for Strategic Continuing Education and Training). Dahulunya ia dikenali sebagai ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilisation). Bangunan IIUM CRESCENT terletak berhampiran Kompleks Kerajaan Jalan Duta. 

IIUM CRESCENT

Kampus ini merupakan hasil gabungan 3 unit Kuliyyah di bawah Program Perniagaan Strategik iaitu Graduate School of Management, Hasyim M. Harun Law Centre, dan Institut Bahasa Kemajuan. Tujuan utama penubuhan IIUM CRESCENT adalah menjadi pusat sehenti bagi pelajar matang, sama ada warga tempatan atau warga asing, yang sedang bekerja di Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah. Selain kursus akademik, IIUM CRESCENT juga menawarkan kursus profesional, pelatihan dan kelas bahasa. IIUM CRESCENT menawarkan pelbagai program eksekutif dari taraf pra-universiti hingga ke peringkat pascasiswazah secara sepenuh masa, separuh masa dan jarak jauh. 

Pemandangan dari atas balkoni bangunan. 

Menara akademik yang direka berdasarkan senibina yang sering ditemui di negara Maghribi atau Afrika Tengah.

Air pancut dengan ukiran singa di dataran luar bangunan.

Bangunan kampus IIUM CRESCENT terdiri daripada pejabat pentadbiran, bangunan akademik, perpustakaan, masjid dan dewan. Memang kagum dibuatnya apabila melihat senibina bangunan tersebut berciri Islamik seperti yang sering dilihat di kebanyakan negara Eropah Timur. Terasa seperti benar-benar sedang berada di Granada, Sepanyol. Walaupun bangunan ini dibina pada tahun 1987, suasana sekeliling bagaikan rumah agam atau istana lama dengan kewujudan ukiran bunga halus atas tiang dan pintu gerbang bangunan. Pintu gerbang bangunan pula dibina tinggi dan besar, bentuknya mirip pintu-pintu gereja di England dan Scotland yang Ayuni pernah masuki masa dulu.

Pintu gerbang utama.

Tangga utama kampus.

Pintu yang menghala ke koridor kelas. 
Ia mengingatkan Ayuni kepada bangunan sekolah lama Ayuni.

Suasana dalam salah satu bilik kelas kosong.

Suasana dalam dewan banquet.

Pemandangan dalam masjid.

Semasa memasuki dewan utama, rakan-rakan Ayuni terkejut melihat dewannya mirip ruang dalam gereja. Mereka menjadi lebih terkejut apabila Ayuni bercerita bahawa semasa Ayuni bersekolah dulu, kami pernah membuat perjumpaan dan pementasan dalam ruang seperti ini yang mana kami gelar sebagai 'chapel'. Namun apa yang sebenarnya membuat Ayuni tertanya-tanya ialah siapa arkitek bangunan tersebut kerana senibinanya langsung tidak selari dengan persepsi "Islamik" mengikut kefahaman biasa IIUM. Terdapat ukiran haiwan pada air pancut di dataran dan kini dewan disusun mengikut susunan yang biasa dilihat dalam gereja. Sedangkan di kampus utama di Gombak, pembinaan arca berbentuk keris itu pun sudah menjadi kontroversi. 

Ruang dewan utama yang saling tidak tumpah seperti ruang dalam gereja.
Mengingatkan Ayuni kepada zaman sekolah dahulu.

Satu lagi ruang dewan di aras berbeza. Masa melihat dewan ini lagu 'Ave Maria' dari zaman sekolah mulalah bermain dalam kepala.

Kami meneroka bilik-bilik lain dalam bangunan dan menemui bilik istirehat yang kelihatan mewah dan perpustakaan yang dibahagikan kepada beberapa tingkat mengikut jenis bahan bacaan. Apa yang menarik tentang reka susunan dalaman kampus ini ialah perabot-perabotnya yang diperbuat daripada kayu dan diimport dari luar negara. Ianya nampak antik dan memberi unsur mistik kepada bilik-bilik setiap tingkat, tak ubah seperti dalam filem Harry Potter. Jarang nak dapat lihat rekaan dan bahan perabot seperti IIUM CRESCENT di mana-mana tempat dalam Malaysia. Kemungkinan besar kesemua perabot diimport dari Eropah Timur.

Bahagian siling bilik istirehat yang kelihatan seperti hujung lembing.

Suasana dalam salah satu perpustakaan IIUM CRESCENT.

Perpustakaan IIUM CRESCENT dari pandangan atas.

Selfie...

Kawan tertinggal...

Kawan ditinggalkan...

Syot terakhir sebelum beredar kembali ke pejabat.

Sekembalinya daripada IIUM CRESCENT, Ayuni cuba mencari latar belakang arkitek yang telah mereka binaan bangunan tersebut. Apa yang peliknya, tiada satu info berkaitan arkitek bangunan tersebut ditemui dalam internet. Sehinggalah Ayuni terjumpa jurnal kajian hasil penulisan Dr. Aizan Bt Ali @ Mat Zin dari Universiti Malaya semalam, baru Ayuni berjaya memperolehi maklumat yang Ayuni kehendaki. Menurut Dr. Aizan, bangunan kampus IIUM CRESCENT direka oleh Prof Dr Syed Naquib Al-Attas iaitu seorang ahli falsafah Islam terkenal merangkap pengasas ISTAC itu sendiri. 

Prof Dr Syed Naquib Al-Attas

Semasa masih berada di ISTAC, di pejabat lamanya.

Syed Naquib Al-Attas juga dipercayai bapa kepada konsep peng-Islaman pengetahuan dan pendidikan yang kemudiannya menjadi prinsip diikuti IIUM sehingga sekarang. Beliau berketurunan Arab dan lahir di Bogor, Jawa, dan merupakan saudara kandung Syed Hussein Al-Attas. Syed Naquib Al-Attas dikenali melalui penulisan beliau tentang ilmu Sufi dan pernah dianugerahkan sarjana kedoktoran di UK pada tahun 1965 untuk hasil thesisnya 'The Mysticism of Hamzah Fansuri'. Namun buku tersebut mengundang kontroversi di Malaysia yang secara terang-terangan menolak fahaman Sufi. Syed Naquib Al-Attas kemudiannya telah dipaksa bersara dari ISTAC setelah ia diambil alih sepenuhnya oleh IIUM.
BACA LAGI...

Aiskrim Perisa Keju? Magnum Memperkenalkan Perisa Baru Red Velvet


Magnum keluarkan perisa aiskrim baru lagi... dan kali ini muncul pula perisa Red Velvet!

Ayuni memang penggemar tegar aiskrim Magnum dan setiap kali Magnum perkenalkan perisa baru, mesti Ayuni akan pergi mencari. Seperti White Almond, aiskrim Magnum Red Velvet ini dilapisi dengan coklat putih namun isi dalamnya berwarna merah (jika dimakan lagi ke tengah, ada lapisan berwarna putih yang berperisa krim keju). 


Berbanding dengan aiskrim Magnum yang pernah dikeluarkan sebelum ini, Magnum Red Velvet tidak berapa manis dan mempunyai rasa masam krim keju. Rasanya seperti makan kek Red Velvet beku. 

Magnum Red Velvet kini boleh didapati di kebanyakan kiosk runcit dan pasaraya di serata Malaysia pada harga antara RM4.50 hingga RM5.90.
BACA LAGI...

MLM Ambil Kesempatan Menipu Blogger?


Awal bulan lalu Ayuni mendapat jemputan daripada sebuah syarikat dari Bangsar yang menghasilkan produk minyak essential oil. Seronoklah hati Ayuni sebab dapat peluang untuk menambah lagi wang belanja makan melalui satu lagi review job. Dahlah kebetulan awal bulan itu memang duit dah banyak habis digunakan untuk membayar bil utiliti dan kad kredit. 

Dapat jemputan untuk menulis review dari sebuah syarikat. Nampak seperti tawaran biasa, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik char kway teow.

PR syarikat tu menjemput Ayuni datang ke showroom mereka yang terletak berdekatan stesen LRT Bangsar untuk tujuan mencuba produk mereka. Dalam fikiran Ayuni terbayang produk menarik yang boleh dibawa pulang untuk ditulis dalam review seterusnya. Sebelum bersetuju untuk datang ke pejabat mereka, Ayuni bertanyakan kepada PR sama ada review berbayar, maklumat lanjut latar belakang syarikat dan produk yang ingin mereka buat kolaborasi bersama blogger. Lepas berbual lama tu baru Ayuni membuat janji dengan PR untuk bertemu di pejabat mereka. 

Sambil itu Ayuni tertanya-tanya juga siapa blogger yang dapat jemputan sama dan akan pergi ke pejabat syarikat itu dengan Ayuni nanti. Jadi Ayuni pun letak status dalam Facebook bertanya siapa yang akan pergi. Dapat jawapan dari beberapa orang blogger yang beritahu mereka pergi pada tarikh dan masa yang berlainan. Tiba-tiba rasa pelik... takkan Ayuni pergi seorang sahaja?


Memandangkan pejabat syarikat tersebut dekat sahaja dengan tempat kerja Ayuni, Ayuni pun ambil LRT untuk sampai ke sana pada hari Jumaat sebab masa tu Ayuni tak ada kuliah selepas tengahari. Cuaca sangat panas pada masa itu, jadi sambil menunggu masa pertemuan Ayuni beli air minuman kotak untuk hilangkan dahaga lalu mencari pejabat yang dikatakan PR. Ayuni hantar WhatsApp kepada PR tersebut untuk memberitahunya Ayuni dah sampai, tetapi tiada jawapan balas. Masa mencari pejabat tu Ayuni rasa pelik kenapa PR dia tak dedahkan nama syarikatnya dalam mesej sebelum ini. Jenuh Ayuni mencari di mana showroom mereka, itu pun jumpa bila ternampak botol minyak di luar bilik pameran yang kelihatan serupa seperti dalam gambar yang dia tunjuk sebelum ini.

Sempat mengambil gambar di dalam showroom sebaik sahaja sampai di sana untuk sesi "menguji produk".

Showroom itu cuma ada ruang pameran dan jualan. Ramai orang-orang tua berbangsa Cina dan India membeli di situ. Seorang makcik India yang terlihat Ayuni di situ segera memberi senyuman lalu bertanya kalau Ayuni nak beli barang menggunakan akaun ID miliknya. "Murah tau kalau beli guna membership," jelasnya. Ayuni menolak tawaran makcik itu dengan lembut lantas terus mencari pejabat pengurusan syarikat itu. Hati dah mula rasa gelisah apabila menyedari Ayuni tak nampak langsung batang hidung mana-mana blogger yang Ayuni kenal. Setelah selesai berlegar-legar di dalam ruang showroom seorang diri, Ayuni cuba menelefon PR itu. Panggilan tak diangkat. Ayuni pun merayau ke bawah tingkat bangunan tersebut dan ternampak pejabat yang mempamerkan logo syarikat itu. Nasib baik masih sempat mengejar masa temujanji. Namun apa yang berlaku seterusnya amat menyakitkan hati Ayuni dan sehingga kini Ayuni rasa tak puas hati dengan syarikat tersebut bila teringat kembali layanan buruk mereka.

Sebaik sahaja Ayuni masuk dalam pejabat tersebut, Ayuni terus beritahu kepada orang yang jaga kaunter tujuan Ayuni datang ke situ dan memberitahunya nama PR yang menjemput Ayuni. Wajah penjaga kaunter itu tiba-tiba macam pelik, macam tak pernah tahu tentang program itu. Dia cuma suruh Ayuni duduk dan tunggu di situ. Ayuni pun menunggu selama setengah jam. Hati dah mula rasa tak sedap. Bila tengok jam dah menunjukkan pukul 2:30 p.m, Ayuni minta penjaga kaunter tu telefon PR tersebut, tapi alangkah terkejutnya Ayuni bila dia suruh Ayuni guna telefon sendiri! 

Walaupun hati dah menyumpah-nyumpah penjaga kaunter tu, Ayuni cuba menelefon juga PR tersebut sekali lagi. Panggilan tak diangkat lagi. Dahlah cuaca di luar panas, hati di dalam lagilah panas. Ada seorang staf perempuan Cina yang memakai singlet dan seluar jeans sekejap-kejap keluar dan masuk pejabat itu pun langsung tak pandang Ayuni, apatah lagi cuba bertanya Ayuni nak jumpa siapa. Rasa macam dah nak angkat kaki masa itu sebab geram dengan kebiadaban PR dan staf syarikat, tetapi disebabkan teringat nak buat review berbayar maka Ayuni tetap tunggu juga. Setelah hampir sejam menunggu, Ayuni pun terpaksa kejar perempuan Cina tu dan beritahu dia Ayuni nak jumpa PR. Perempuan tu kata PR itu dah keluar makan tengahari, tetapi dia bawa Ayuni jumpa eksekutif pemasaran mereka dalam pejabat yang dah lama duduk dalam bilik itu. Masuk bahagian ini Ayuni dah mula rasa tak sedap hati dan nak cabut sahaja dari tempat itu....

Masa eksekutif pemasaran tu perkenalkan dirinya dan perempuan tu, Ayuni terkejut bila mendapati perempuan itu ialah salah seorang PR yang menjemput blogger untuk datang buat kolaborasi dengan syarikat yang sama (sebab Ayuni dapat dua jemputan yang sama tetapi Ayuni memberi butiran kepada PR yang kedua). Ayuni terkejut sebab rupa dia macam staf biasa saja dan langsung tak menunjukkan macam dia faham apa yang dia perlu buat untuk sesi "menguji produk" itu. Ini membuat Ayuni terfikir adakah "PR" yang Ayuni dah berjanji nak berjumpa itu sebenarnya cuma staf biasa yang disuruh untuk buat iklan memanggil blogger?

Masa itu baru "PR" yang Ayuni cuba hubungi telefon Ayuni balik. Dia meminta maaf tak dapat jumpa sambil bagi alasan bahawa dia ada pelanggan lain yang perlu dilayan. Masa itu hati dah mendidih bila dengar alasannya - biadab sungguh! Ingat orang ni apa dah datang tepat pada masa perjanjian dan menunggu macam orang bodoh di situ... lepas itu boleh pula kata terpaksa layan orang lain pada masa yang sama???

Mood Ayuni menjadi bertambah tak baik sepanjang perbualan dengan eksekutif pemasaran yang menggelar dirinya Alex itu. Sudahlah 2 jam dia bagi penerangan yang membosankan tentang program affiliate mereka dalam pejabat yang sempit dan kecil itu, tiada satu cawan teh mahupun biskut disajikan sepanjang masa Ayuni menahan diri daripada bertanya, "Mana produk untuk review tu?" Ini merupakan satu kesalahan besar - biasanya Ayuni tidak akan maafkan orang yang tidak menyaji sedikit makanan dan minuman kepada Ayuni apabila tengah lapar, terutama sekali pada waktu makan tengahari...

Satu lagi perkara yang membuat Ayuni tak suka dengan Alex ialah cara dia bercerita manis tentang kebaikan menyertai program affiliate syarikat mereka sambil memburukkan program affiliate syarikat lain. Nak tergelak sahaja mendengar dia bercerita sedemikian padahal dia sendiri pun cuma guna air liur sahaja untuk menarik blogger mempromosikan produk mereka. Nasib baik sempat minum air kotak minuman yang dibeli di 7-Eleven tadi... itu pun pakai duit yang kita keluarkan sendiri selain duit tambang pergi ke pejabat dia. Bila ditanya apa akan jadi sekiranya Ayuni memilih untuk buat review berbayar sahaja dan tak mahu sertai affiliate mereka, air mukanya terus berubah dan dia jawab mereka akan bayar hanya lepas tengok blog itu. Kemudian Alex membuat satu lagi kesalahan besar yang menyebabkan Ayuni terus angkat kaki meninggalkan pejabatnya sebelum rasa hendak melempangnya di situ juga - dia kata, "Mari saya buatkan keputusan untuk awak. Awak masuk program affiliate kami dan isi borang ini."

Tiada siapa yang berani hendak buatkan keputusan untuk Ayuni, okey? Tiada siapa! Kurang ajar betul.

Nak tahu apa lagi yang sangat kurang ajar tentang syarikat itu? Bukan dia yang bayar blogger untuk tulis review, malah dia suruh blogger bayar dulu RM70 untuk sertai affiliate mereka baru boleh buat review. Lagi satu semasa staf perempuan tu bawa Ayuni melawat showroom, dia beritahu Ayuni bahawa mereka tak akan bagi produk percuma kepada blogger. Kena beli dulu baru boleh buat review. Bila menyedari mereka cuba kencing Ayuni, terus Ayuni menolak balik kertas borang ke depan muka Alex dan beritahu dia bahawa Ayuni akan kembali Isnin depan. Ayuni tipu.

Rasa lega dapat melarikan diri segera daripada pejabat tersebut sebelum mereka cuba nak paksa untuk mendaftar. Baru Ayuni tahu kenapa mereka tak panggil blogger beramai-ramai macam syarikat lain buat. Baru Ayuni tahu kenapa mereka tak nak hantar produk percuma untuk direview seperti syarikat lain buat. Baru Ayuni tahu...

Balik saja terus Ayuni meluahkan perasaan marah dalam Facebook terhadap pengalaman hari itu.

Rupa-rupanya ramai blogger yang menjadi mangsa syarikat terbabit juga selain daripada Ayuni. Baru-baru ini ada seorang blogger yang mengadu bahawa dia pun mengalami pengalaman yang sama seperti Ayuni, cuma bezanya dia dah isi borang tersebut.

Kasihan Izarra Qistina :(

Rasa geram pula bila dapat tahu ada rakan blogger yang dah terkena dengan syarikat itu. Ada yang cerita dia pernah mendaftar tetapi kemudiannya dapat tahu kredit dalam ID akaun miliknya digunakan oleh salah seorang staf syarikat tersebut untuk membeli barang apabila dia tak aktif. Rata-rata ramai blogger yang tak puas hati dengan penyalahgunaan pemasaran dan perniagaan syarikat tersebut. Blogger Hanny Abdullah pun siap pergi bertanya kepada PR tu sendiri untuk mengetahui cerita sebenarnya.

Perbualan antara kak Hanny dengan PR syarikat tersebut.

Bagi Ayuni apa yang syarikat tersebut buat memang satu penipuan dan boleh dilaporkan kepada Tribunal Pengguna. Jika anda seorang blogger yang menerima mesej jemputan sama daripada syarikat terbabit, sila tekan delete saja. Usah buang masa anda.
BACA LAGI...