EVENT | REVIEW | IKLAN

Tel: +6018-2043980
Email: abnormallight@gmail.com
Instagram: @ayunirafilah

Phoenix, Ahli Gusti Wanita Berhijab Malaysia


Walaupun tiada langsung latar belakang yang berkaitan dengan dunia gusti, namun ini tidak menghalang seorang remaja perempuan berhijab untuk menceburi sukan gusti profesional sehingga melayakkan dirinya menyertai Kejuaraan Malaysia Pro Wrestling (MYPW).

Phoenix dalam perlawanan menentang Poppy dan Alexis Lee.

Aksi hebat Phoenix di gelanggang gusti.

Syaradeeba Khamarulzaman atau lebih dikenali di gelanggang sebagai Phoenix, merupakan salah seorang pelopor gusti tanahair bersama barisan ahli gusti yang lain seperti Archangel Fifth @ A5th, The Kid, Ladykiller, Mad Scholar, dan ramai lagi. Gadis berusia 18 tahun ini sentiasa menjadi ahli gusti yang dinanti-nantikan oleh para pengunjung arena MYPW kerana gayanya yang dramatik serta kekuatan dan kelincahannya yang menjangkaui saiz badannya yang kecil. Topeng bercorak api marak yang menjadi simbol kepada burung mitos phoenix menambah faktor populariti Syaradeeba dalam persembahannya.

Phoenix sentiasa mengenakan topeng yang menjadi salah satu daya penarik dalam persembahannya.

Kemunculan Phoenix sentiasa  dinanti-nantikan oleh para 
pengunjung arena MYPW

Pada 17 April 2017, Majalah 3 telah membuat liputan ke atas MYPW dan rancangan tersebut telah membantu memberi pendedahan tentang Phoenix kepada masyarakat - pada masa yang sama juga kehebatan Phoenix telah membakar semangat anak-anak muda untuk menceburi bidang gusti sambil membuka mata orang ramai tentang usaha MYPW menaikkan taraf gusti profesional Malaysia. Ketika ditanya mengenai identitinya yang bertopeng, Syaradeeba menjelaskan bahawa pada mulanya dia tidak ingin mengenakan topeng semasa berlawan. Namun, disebabkan dirinya yang berhijab Syaradeeba merasakan agak janggal jika dia memasuki gelanggang gusti tanpa topeng. Lama-kelamaan dia menerima pemakaian topeng sebagai satu keunikan pada diri Phoenix.

Bersama rakan-rakan seperjuangan dari MYPW

Syaradeeba banyak menerima sokongan dan tunjuk ajar daripada bapanya sendiri iaitu Encik Khamarulzaman Murad, yang juga merupakan seorang pakar seni pertahanan diri. Setelah setahun berkecimpung dalam sukan gusti, Syaradeeba mula berasa selesa dengan watak Phoenix dan dia ingin mengembangkan watak tersebut ke arah yang lebih holistik. Peminat-peminat Phoenix kini boleh mengikuti aksi terbarunya di akaun Instagram  miliknya iaitu @phoenixmypw.

Hasil dari sokongan dan tunjuk ajar bapanya Encik Khamarulzaman Murad, Syaradeeba berjaya membentuk watak Phoenix menjadi sehebat burung mitos tersebut

Usaha Phoenix sebagai salah seorang pelopor sukan gusti tanahair adalah satu perkara yang amat membanggakan kerana tidak ramai anak muda, apatah lagi gadis yang berhijab, mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk menceburi bidang sukan tersebut. Semoga suatu hari nanti Phoenix berjaya mengangkat martabat gusti profesional negara ke tahap kejuaraan antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Ikuti perkembangan sukan gusti tanahair di MYPW - Malaysia Pro Wrestling.

2 ulasan:

  1. badan dia kecik je, kecil2 cili padi cili api cili hijau syaradeeba ni..

    "Walaupun tiada langsung latar belakang yang berkaitan dengan dunia gusti, namun ini tidak menghalang......" ayat yg positif utk semua org

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kecil tetapi besar inspirasi yang dibawanya.

      Padam